Monday, March 5, 2007

JALUR GEMILANG


Pada tahun 1949 sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Satu pertandingan peringkat kebangsaan telah dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sebanyak 373 penyertaan telah diterima di mana tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.
Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat tentang ketiga-tiga rekaan tersebut. Undian pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir telah disiarkan pada 29 Nov 1949.
Rekaan yang terpilih menggambarkan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di sebelah kiri. Rekaan ini adalah ciptaan seorang arkitek kerajaan dari Johor iaitu En Mohamad bin Hamzah.
Beberapa pindaan telah dibuat kepada rekaan tersebut dan rekaan akhir telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut: "That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows: Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a crescent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet." (Bahawa mengikut pendapat Majlis Perundangan Persekutuan, bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu hendaklah mengikut rupa seperti berikut: Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, dengan jalur merah di atas sekali, sukuan berwarna biru dengan bulan sabit bersama bintang pecah sebelas berwarna kuning di atasnya, dengan ukuran bendera standard enam kaki kali tiga kaki.) Rekaan bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat kali pertama dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan ini satu pindaan diperlukan ke atas bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963.

No comments: